Thursday, 16 August 2018

Permasalahan Solat.

Permasalahan solat

Apakah yang dimaksudkan dengan solat menghormati waktu?
Solat menghormati waktu ialah solat yang dilakukan dalam keadaan berhadas sama ada kerana ketiadaan air untuk berwuduk atau ketiadaan debu tanah untuk bertayamum.
Bilakah solat menghormati waktu perlu diulang atau diqada’?
Mereka yang telah melakukan solat menghormati waktu tetapi kemudiannya menjumpai air untuk berwuduk atau debu tanah untuk bertayamum sedangkan waktu solat berkenaan masih ada lagi, maka dalam situasi ini solat tersebut wajib diulang kembali.

Namun sekiranya air atau debu tanah hanya dijumpai setelah habis waktu, maka solat berkenaan hendaklah diqada’.
Pengulangan solat dan qada’ solat ini boleh dilakukan secara jamak dan qasar sekiranya masih dalam musafir. Jika sebaliknya, maka solat tersebut hendaklah dilakukan secara sempurna seperti biasa.
Siapakah orang yang boleh melakukan solat menghormati waktu?
a) Orang yang tidak memperoleh air atau debu tanah. Sebagai peringatan untuk golongan yang pertama ini, sekiranya dalam musafir, solat hormat waktu hanya boleh dijamakkan secara jamak ta’khir sahaja dan qasar.
b) Jemaah haji dalam kapal terbang yang tidak menyediakan kemudahan untuk melakukan solat seperti biasa. Walaupun ada air tetapi dibimbangi mengundang bahaya jika air melimpah di lantai kapal terbang ekoran penggunaan yang tidak cermat.
c) Orang yang sakit terlentang dipembaringan dan tiada sesiapa yang boleh membantunya untuk berwuduk atau bertayamum.
d) Doktor yang sedang menjalankan pembedahan yang lama sehingga tamat waktu solat yang boleh dijamak.
e) Orang yang tersesat di dalam hutan dan berhadapan dengan binatang buas sehingga tidak mampu berwuduk atau bertayamum.
f) Orang yang terkurung dan tiada air atau debu tanah untuk bersuci.
g) Dalam kenderaan seperti bas di mana bas tersebut tidak berhenti untuk membolehkan penumpangnya menunaikan solat sehingga habis waktu solat termasuk waktu solat yang boleh dijamak ta’khir.
Apakah yang dimaksudkan dengan solat jamak tamam?
Solat jamak tamam ialah menggabungkan dua solat yang boleh dijamak seperti Zuhur dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak, sama ada secara jamak takdim atau ta’khir tanpa melakukan qasar kepada Zuhur, Asar dan Isyak.
Bilakah jemaah haji boleh melakukan solat jamak tamam?
Dalam Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-25 Musim Haji 1430H dinyatakan bahawa dibolehkan solat jamak di Arafah, Mina dan Muzdalifah secara tamam (sempurna) kerana keperluan disebabkan masyaqqah yang dihadapi oleh jemaah haji. Pendapat ini adalah berdasarkan pendapat Ibnu Sirin, al-Qafal al-Kabir al-Syasyi, Abi Ishaq al-Marwazi yang menyatakan harus jamak solat semasa bermukim/tidak musafir kerana keperluan (al-Hajat)

No comments: