Thursday, 14 May 2020

MAKAM NABI ﷺ DAN SAHABAT.

MAKAM NABI ﷺ & SAHABAT.

Penjelasan tentang ruang suci di Masjid Nabawi di mana terletaknya jasad Nabi ﷺ, Saiyyidina Abu Bakar & Saiyyidina Umar Khattab.

Sila Like & Share Sekiranya Bermanfaat.

#masjidnabawi #raudah #madinah

Friday, 1 May 2020

DOSA JARIAH

Dosa Jariah Yang Sentiasa Mengalir

Pernahkah anda mendengar mengenai dosa jariah? Mesti anda pernah mendengar mengenai sedekah jariah mahupun amal jariah, bukan? Namun, apa pula dosa jariah? Wujudkah ia?

Sebenarnya, jariah bermaksud berlari atau mengalir sama seperti sungai yang mengalir atau dalam Bahasa Arabnya, iaitu nahr jar yang bermaksud kekal berterusan.

Setiap amalan yang dilakukan di muka bumi ini telah dirakam oleh ‘cctv’ Allah dan dicatat ke dalam buku amalan kita oleh malaikat pencatat, iaitu Raqib dan Atid.

Berdasarkan firman Allah yang berbunyi:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ

Mafhumnya: Sesungguhnya kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata. (Surah Yasin, 36:12)

Setiap daripada perbuatan yang telah dilakukan akan sentiasa mengalir pahala mahupun dosanya. Berdasarkan hadis nabi daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya.”

Bagaimana Dosa Jariah Berlaku?
Sepertimana amal dan perbuatan baik yang dilakukan dan menjadi ikutan serta memberi manfaat kepada makhluk sekeliling itu dianggap sebagai amal jariah, maka begitu juga dengan dosa jariah.

Jika anda melakukan satu perbuatan jahat dan menjadi ikutan manusia sekeliling serta menimbulkan perasaan benci dan akan dicela, maka itulah yang dinamakan dosa jariah. Rasulullah SAW ada bersabda mengenai perkara ini yang membawa maksud:

“Sesiapa yang memulakan dalam Islam sunnah (perbuatan) yang baik, maka baginya pahala perbuatan tersebut dan pahala sesiapa yang mengikutinya melakukan perbuatan itu tanpa dikurangi pahala mereka yang mengikutinya itu sedikit pun.

Dan sesiapa yang memulakan dalam islam (sunnah) perbuatan buruk, maka baginya dosa perbuatan tersebut dan dosa sesiapa yang mengikutinya melakukan perbuatan itu tanpa dikurangi sedikit pun dosa mereka yang mengikutinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pernah ada seorang artis Indonesia yang telah berhijrah tampil untuk memberikan penerangan berkenaan hijrahnya dan beliau telah merayu supaya setiap orang yang menyimpan gambar atau videonya yang tidak menutup aurat supaya memadamnya. Hal ini kerana, beliau tidak ingin dosa-dosanya terus mengalir walaupun beliau telah meninggal dunia kelak kerana masih dipertontonkan di dunia.

Wahai wanita, jika ada gambarmu di media sosial yang tidak tertutup dengan sempurna, berhati-hatilah.

Wahai lelaki, jika anda seorang perokok tegar dan amalanmu itu diikuti oleh anak atau adikmu, berhati-hatilah.

Wahai perempuan, jika anda seorang yang suka menyebarkan fitnah sehingga orang lain mempercayai fitnah tersebut dan menyebabkan hidup orang yang difitnah itu dicemuh, berhati-hatilah.

Ini semua hanya sedikit sahaja contoh yang dituliskan untuk menggambarkan dosa jariah yang akan sentiasa ditanggung.

Sebelum melakukan sesuatu, fikirlah dua tiga kali. Sebelum mengutarakan sesuatu, fikir dalam-dalam, adakah ia patut untuk diucapkan. Sebelum menulis sesuatu, fikirlah sebaik-baiknya adakah apa yang akan anda tulis itu benar-benar sesuatu yang sahih dan berguna?

Masih Belum Terlambat
Jika anda telah melakukan apa jua kesalahan dalam hidup, maka bertaubatlah kerana pintu taubat Allah Maha Luas dan Allah itu Maha Mengampuni. Selagi matahari belum terbit dari arah barat, maka selagi itulah pintu taubat masih terbuka. Sepertimana sabda dari Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Musa yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tanganNya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam hari, sehingga matahari terbit dari barat (kiamat)” (Hadis Riwayat Muslim)

Berusahalah untuk menjadi seorang mukmin yang sejati yang tidak akan mengulangi dosamu. Sifat manusia itu ialah pelupa – memang akan terus-menerus melakukan dosa, namun jangan pernah berputus asa untuk mengharapkan rahmat dan memohon ampun daripada Allah.

Allah tidak menolak taubat hambaNya yang memohon ampun atas kesalahannya sekalipun sentiasa melakukan dosa dan kembali mengulanginya. Usah lelah menadah tangan memohon ampun. Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Nabi SAW yang bermaksud:

“Seorang yang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hambaku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya”
Dalam riwayat yang lain, ada ditambah:

“Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hambaku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya.”

Dalam riwayat lain ditambah:

“Aku ampunkan dosanya, lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu, aku ampunkan engkau.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jangan takut untuk memohon ampun. Jangan segan untuk menadah tangan walau berulang kali. Sebelum semuanya terlambat, sebelum nyawa sudah ditarik sampai kerongkong, sebelum matahari terbit dari arah barat, maka kita semua masih ada masa.